Checklist + Tips Persiapan Ramadan

Dear Kimyra Tribe,

Salam Alaik. Apa khabar? Semoga kalian semua dalam keadaan sihat dan sentiasa dalam pemeliharaan-Nya. Bagaimana perasaan sahabat Kimyra dengan kedatangan Ramadan tahun ini? Kak Myra sangat teruja dan tak sabar!


Kak Myra yakin Ramadan kali ini bakal memberi seribu satu kenikmatan yang bermakna bagi kita semua. Hampir setahun dunia berdepan ujian pandemik Covid-19 yang Kak Myra sendiri tak tahu bila akan berakhir.

Apa yang pasti, ujian yang di-hadapi hari ini dapat menjadikan kita sebagai seorang hamba yang penuh pengharapan pada Dia yang mengetahui segalanya.

Alhamdulillah, Allah masih izinkan Kak Myra dan sahabat semua untuk mempersiapkan diri dalam menghampiri dan meraih ganjaran pada bulan Ramadan.

_

Seronok Kak Myra nak kongsikan beberapa special checklist dan tips Ramadan yang Kak Myra sendiri lakukan setiap tahun. Insha Allah, semoga perkongsian ini dapat dijadikan sebagai ‘checklist’ yang mampu memberi manfaat kepada kalian semua.
                              
1. Banyakkan berdoa

Kak Myra nak mengajak sahabat semua untuk sentiasa banyakkan berdoa agar diberi peluang untuk ditemukan dengan bulan Ramadan dalam keadaan yang baik dan sihat.

Semoga dengan nikmat kesihatan yang dikurniakan, kita semua dapat menjalani ibadah puasa dengan tenang dan sempurna. Selain berdoa, diri sendiri perlu ada usaha untuk jaga kesihatan ya! 

Tips: Berdoa dengan yakin dimana doa kita akan dimakbulkan dan tidak berdoa dalam keadaan tergesa-gesa.

2. Mendalami ilmu agama.

”Ilmu menghidupkan jiwa”. Apa kata kita tingkatkan ilmu mengenai ibadah puasa seperti hukum-hakam serta fadhilatnya.

Sekiranya kalian mempunyai sebarang kemusykilan dalam sesuatu, Kak Myra cadang supaya kalian rujuk pada ustaz/ustazah atau mereka yang pakar dan dipercayai.

Tips: Sediakan journal khas untuk catatan ilmu dan pengetahuan agama dimana kalian boleh selitkan sirah para Nabi, hadis dan ayat Quran kegemaran masing-masing!

3. Membersih dan menghias ruang khas untuk ibadah.

Sebagaimana yang diketahui umum, solat tarawikh secara berjemaah kini dibenarkan di masjid mahupun surau dengan pemantauan SOP yang ketat. Dengan had jumlah kehadiran jemaah, Kak Myra yakin tidak semua berpeluang untuk melakukan ibadah bersama.

Namun, itu tidak bermakna akan mengurangkan sedikit pun semangat Kak Myra dan sahabat semua dalam menyambut tetamu agung kita tahun ini! Jadi, apa kata kalian cuba hias secara minimal ruang yang ada dan pastikan ruang ibadah tersebut sentiasa bersih serta kemas.

Sebagai tambahan, perlengkapan ibadah seperti al-Quran, digital tasbih dan telekung yang bersih juga perlu diambil kira.

Tips: Kak Myra cadangkan agar ruang ibadah disemburkan dengan bau yang menyenangkan dan tidak terlalu banyak barang sehingga mengganggu tumpuan. 


Simple and sweet sudah memadai bagi menjemput aura ketenangan dalam menyempurnakan ibadah kalian Insha Allah.

4. Memperbaiki dan meningkatkan amal ibadah.

Tanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya bulan ini dengan amal ibadah. Sebelum memasuki bulan Ramadhan, Kak Myra nak ajak sahabat semua untuk sama-sama perbaiki solat wajib dan pembacaan al-Quran kita dengan tajwid yang betul. 


Insha Allah persediaan sebegini dapat melatih diri untuk meningkatkan lagi kualiti ibadah.

Tips: Mengajak mereka yang lebih bagus dan lancar dalam membaca al-Quran untuk pantau bacaan kalian. Boleh juga sediakan checklist bacaan al-Quran sendiri sebagai 'KPI' masing-masing. 


Jangan risau andai kalian masih gagap dan merangkak, Allah tak akan terlepas pandang satu pun. Kak Myra yakin pasti ada ganjaran bagi mereka yang bersungguh-sungguh!


5. Persiapan Aidilfitri yang awal.


Selalunya 10 hingga 15 malam pertama Ramadhan, masjid mesti penuh sehinggakan tak dapat tampung jumlah mereka yang ingin menunaikan Isya' dan Tarawikh berjemaah. Bila 10 malam terakhir menjelang, tinggal beberapa buah saf sahaja yang masih gagah untuk bertahan dan tidak seramai seperti di awal Ramadhan. 

10 malam terakhir yang patut direbut sebolehnya kita tidak sibukkan diri dengan hal selain beribadah. Tidak salah untuk melakukan persiapan Aidilfitri yang bakal tiba. Namun, Kak Myra rasa lebih baik kita melakukan persiapan tersebut lebih awal supaya kita dapat fokus pada ibadah. 

Sejujurnya Kak Myra pun kadang 'terlepas' juga akan hal sebegini. Insha Allah apa yang Kak Myra dan sahabat semua boleh baiki, kita sama-sama baiki.

Tips: Berbincang bersama keluarga bagi persiapan Aidilifitri yang lebih awal seperti membeli baju dan kuih raya sebelum Ramadan, pengagihan kerja mengemas rumah dan sebagainya.
_

Semoga Allah pandang segala usaha kita dalam mempersiapkan diri menyambut Ramadan demi meraih redha-Nya Insha Allah. Kimyra kaya demi ummah!